Monday, May 25, 2009

Rindu Seorang Anak...

Hatiku tiba-tiba didesak untuk menceritakan tentang ayah meskipun saat-saat indah aku bersamanya terlalu singkat iaitu lebih kurang 2 tahun lebih. Ayahku lebih disayangi olehNya lantaran terkorban semasa mempertahankan negara dalam operasi menentang komunis sekitar tahun 1984. Ayahku mengetuai pasukan pengesan jerangkap samar. Pemergianmu ditangisi ibu dalam redha dan sabar. Alhamdulillah... kembalinya engkau, membanggakan aku sehingga ke hari ini.

Namun begitu, perasaan rindu padanya tiba-tiba meluap-luap. Mungkin kerana dua minggu lalu aku telah membeli sekeping kad khusus untuk suamiku sempena Father's Day yang bakal tiba. Rupa-rupanya, aku tersilap beli kerana kad itu tidak lain dan tidak bukan adalah kad daripada seorang anak kepada ayahnya. "Takpalah..biar Najihah (anakku yang berusia 2 tahun lebih) bagi pada abahnya.."Bisik hati kecilku walaupun hakikatnya hati ini merintih sayu, sedih dan rindu pada seorang lelaki bernama ayah. Apalah yang bisa ku imbau segala memori bersama ayah kerana ketika itu aku baru berusia 2 tahun lebih. Namun atas rahmat dan belas kasihan Allah pada anak yatim ini, dihadiahkanNya juga padaku sebuah memori indah aku bersama ayahku. Tidak perlulah untukku ceritakan pada kenangan yang lalu kerana kenangan itu adalah kenangan biasa sahaja namun cukup manis dan indah bagiku lantaran rindunya aku pada seorang ayah.Pastinya, akan ku simpan meori itu sepanjang hayatku dan bila saat rinduku yang teramat sangat pada ayah, meori itu akan muncul dalam mindaku ditemani dengan titis-titis air mata.

Mak juga sering benar bercerita tentang ayah. Mak tidak mahu aku dan adik tidak tahu langsung tentang ayah lantaran ketika itu ayah banyak mengorbankan masanya berjuang di tengah belantara. Cerita mak tentang ayah juga pastinya terbit lantaran rindu seorang isteri kepada suami. Kata mak, ayah sangat berdisiplin orangnya. Ayah tidak akan makan tanpa berpakaian. Ayah sangat rajin dan pengemas. Tulisannya melalui surat-suratnya pada mak sangat cantik seperti tulisan orang perempuan. Kata mak "tulisan Along macam tulisan ayah". Aku tersenyum sendiri. Ayah juga sangat seni orangnya. "RINDUNYA PADA AYAH..."

Ayah..moga rohmu dicucuri rahmatNya dan tergolong bersama mereka yang soleh. Anakmu ini sentiasa berdoa moga suatu masa nanti kita akan bertemu lagi di sana.

Mak.. tiada kalimah yang mampu ku lafaz tanda tingginya penghormatan dan cintaku padamu. Ketabahan, kesabaran, kecekalan dan keredhaanmu mendidik anak-anakmu sehingga kini hanya Allah sahaja yang layak membalasnya.

Abang..syukran jazilan kerana memberikan aku erti kasih sayang dari seorang lelaki.

Hati yang rindu pada ayah...

No comments:

Post a Comment